Latih Jari dan Pemikiran

303058260443a96172fzy7

Kemahiran menulis dengan baik memerlukan paksi olahan dan caturan minda yang sentiasa diasah. Bagaimana ingin mengarang sesebuah karangan dan penulisan dengan baik? Ketika alam persekolahan, subjek Bahasa Melayu menjadi subjek kegemaran saya. Bermula di alam persekolahan hinggalah di alam sekolah menengah. Walaupun saya menjerumuskan diri dalam bidang pengajian kaunseling, minat pada subjek Bahasa Melayu tidak pernah padam kerana bahasa jiwa bangsa. Saya pantang melihat kesalahan ejaan jika dalam penulisan-penulisan ilmiah dan formal, kesalahan bahasa. Namun, dalam blog saya sendiri,(Hungry For Knowledge) penggunaan bahasa percakapan juga saya gunakan kerana dalam menyatakan perasaan berbeza pula penulisannya. Namun, kita harus sedar apakah bentuk penulisan dan situasi penulisan kita sebenarnya. Ketika saya berada di tingkatan 2, Kamus Dewan menjadi teman rapat saya, dan kemungkinan itulah saya digelar manusia yang edan bahasa dalam kalangan kawan-kawan. Namun, gelaran edan bahasa itu sebenarnya salah penggunaanya kerana gila bahasa ini merujuk kepada maksud yang lain bukanlah merujuk kepada minat pada bahasa.   Ingin saya kongsikan beberapa langkah untuk menulis dengan berkesan.

Pertama, sedar akan tajuk yang ingin diolah sedalam-dalamnya. Cuba pecahkan kondisi pemikiran kepada beberapa bahagian. Hal ini bermakna perlu ada kerangka dalam minda dan dicatitkan di atas kertas. Terjemahan pemikiran amat perlu agar catitan dalam kertas itu jelas. Prioritinya, anda tidak boleh mengabaikan tajuk dan fokus penulisan anda. Jika sedikit tersasar, maka penulisan anda berjela-jela dan merepek-repek.

Kedua, pegang kepada konsep 5 Q’s. Konsep ini sentiasa saya praktikkan. Apa mewakili idea anda yang ingin ditulis, mengapa mewakili penghuraian kepada sebab idea, siapa pula boleh dijadikan panduan untuk anda mengemukakan individu yang terlibat berkait dengan contoh-contoh, di mana merujuk kepada kejadian yang boleh dimasukkan dalam contoh untuk penulisan, dan akhir sekali ialah bagaimana boleh merujuk kepada proses sesuatu kejadian, langkah dan hal yang berkaitan. Persoalan 5 Q’s ini akan wujud secara automatiknya dalam diri anda ketika anda menulis jika anda benar-benar mengaplikasikannya. Dengan perkataan mudah, 5 Q’s menjadi kerangka utama dalam menulis agar penulisan jelas dan maksudnya difahami. Perkara pokoknya, idea, huraian dan contoh amat penting dalam sesebuah perenggan menulis sebuah penulisan.

Ketiga, anda perlu menekankan penggunaan kosa kata yang tepat, dan peka pada kesalahan ayat. Hal ini bermakna anda perlu tahu dan sedar ketika anda menulis sama ada ayat anda itu betul atau salah. Contohnya, “Pihak kerajaan telah memperlebarkan jalan raya sebagai usaha untuk mengelakkan kemalangan jalan raya“. Cuba perhatikan, penggunakan memperlebarkan itu salah kerana kata kerja transitif tidak boleh bergabung dengan kata adjektif. Jika ingin menggunakan memper..anda perlu gugurkan “…kan”. Hal ini bermakna, teras dan tatabahasa perlu anda pelajari dengan baik agar penulisan anda cantik tanpa kesalahan tatabahasa. Sebetulnya, “Pihak kerajaan telah memperlebar jalan raya sebagai usaha untuk mengelakkan kemalangan jalan raya” atau “Pihak kerajaan telah melebarkan jalan raya sebagai usaha untuk mengelakkan kemalangan jalan raya“. Fenomena yang saya selalu lihat semasa saya ditingkatan enam, rata-rata dalam kalangan rakan-rakan mengabaikan penggunaan bahasa yang betul. Walhal untuk kertas Bahasa Melayu 1 sudah dipelajari tentang hukum bahasa. Kepelikannya, untuk kertas 1 amat pandai dan tinggi markah, namun, apabila kertas Bahasa Melayu 2, terlalu rendah pula. Cikgu pula letih menandakan kertas peperiksaan dengan contengan merah-merah. Sebenarnya, kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 sama sahaja cuma bentuk dan format sahaja berbeza. Jadi, apabila belajar Bahasa Melayu 1, aplikasikanlah untuk Bahasa Melayu 2. Sebenarnya, pemahaman saya tentang tatabahasa ialah ketika saya di tingkatan dua dan tiga kerana saya minat pada subjek ini atas tunjuk ajar seorang guru Bahasa Melayu yang berbangsa Cina. Namun, saya bukanlah pakar dalam bidang bahasa cuma mungkin sedikit menonjol sahaja dalam kelas untuk subjek ini ketika itu. Maka, tidak hairanlah jika saya ingin berkongsi dengan pembaca blog.

Keempat, untuk menulis dengan baik dan berkesan, anda perlu banyak membaca. Membaca tidak semestinya membaca buku yang berat- berat dan tebal-tebal, melalui sumber akhbar, internet, maklumat mudah diperoleh. Namun, jangan abaikan pula tabiat membaca. Cuma disarankan sedemikian dalam memperoleh maklumat yang cepat. Jika anda seorang yang rajin, keratan-keratan akhbar bolehlah dikumpul untuk menjadi bukti dalam penulisan.

Akhir sekali, selesai sahaja menulis, cuba baca apa yang telah anda tulis dengan erti kata menyemak kembali penulisan anda. Jika terdapat kesalahan, boleh diperbaiki. Namun, dalam peperiksaan mestilah mengutamakan masa dan pembahagian masa amat penting. Dengan masa yang ada, selamat menulis.

Sekadar perkongsian

Wasalamualaikum W.b.t

Advertisements

Dunia Orator

Sudah lama alam debat ditinggalkan. Merindui dunia orator seakan-akan merasakan suatu kehilangan buat diri. Ketrampilan berhujah, menyusun bait-bait kata memberi kepuasan dalam berbicara. Indahnya era dunia orator. Berbahas menggunakan minda dan berfikir tentang sesuatu isu dan memberi lontaran idea dengan daya mengasah pemikiran menjadi nikmat yang di kenang sepanjang zaman. Saya mula mengenali dunia debat, pidato dan pengacaraan bermula ketika di bangku sekolah. Sokongan guru-guru menjadi nadi kepada diri saya untuk mengorak langkah. Suatu kenangan yang amat indah apabila usaha yang dilaburkan memberi hasil kerana hasil dalam dunia orator memberi kepuasan kepada diri saya ketika itu. Namun, kini sepi daripada dunia orator. Terlalu banyak komitmen perlu diutamakan daripada yang utama ini. Namun, saya tetap mengigati pengalaman tersebut sebagai pengalaman yang amat bermakna. Arghh..sungguh rindu kenangan itu.

Bermulanya kenangan manis apabila saya mendapat Johan Pertandingan Pidato Badan Pencegah Rasuah untuk peringkat negeri. Bermulanya kenangan memenangi tempat pertama di peringkat zon dalam kalangan barisan pemidato yang handal. Siapalah diri saya pada ketika itu kerana rata-rata peserta yang bertanding dalam kalangan pelajar sekolah berasrama penuh dan saya hanyalah pelajar dari sekolah harian biasa. Apabila selesai tiga peringkat di lalui, saya ke peringkat kebangsaan. Ketika itu, berhadapan dengan lebih 3 ooo orang di Auditorium Parcel D, Putrajaya. Sebelum ini, belum pernah merasai menaiki kapal terbang, dan melalui dunia orator ini memberi peluang kepada saya yang hanya dari kampung untuk menaiki kapal terbang. Anugerah Johan Pidato Peringkat Negeri Kelantan sudah saya gondol, untuk kebangsaan pula? Kenangan bersama peserta dari seluruh negeri membuatkan saya berasa sangat nikmat. Mungkin kejuaraan ini memberikan kenangan pada diri ini setelah berhempas pulas menghafal teks dan mencari idea-idea serta latihan.Hadiah disampaikan oleh Datuk Rais Yatim.

Selepas itu, dunia orator alam persekolahan diteruskan lagi iaitu menyertai pertandingan pidato Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ketika ini, dengan keadaan terpaksa menyertainya kerana minggu tersebut minggu peperiksaan. Namun, kecekalan diri, exam tetap exam, dunia orator perlu diteruskan telah membuatkan diri ini melangkah untuk menyertainya. Alhamdulillah, pada peringkat zon, johan tetap dimiliki. Seterusnya, melangkah ke peringkat negeri dan keadaan sangat terdesak, hati bercampur-baur akhirnya tewas. Johan tidak dimiliki. Benar kata hati ketika itu. Buat dalam keadaan terpaksa lain jadinya dan persediaan tidak cukup.

Ketika tingkatan 2 pula, saya mula mencuba-cuba untuk berjinak-jinak dengan debat Bahasa Inggeris. Ketika itu, Bahasa Inggeris masih minat lagi. Sekarang ini, perlu mulakan semula untuk mengusai Bahasa Inggeris atas sebab-sebab tertentu yang menyebabkan diri saya lemah Bahasa Inggeris. Pertandingan ketika itu dengan isu criminal. Ketika itu menjadi first speaker. Maklumlah, belum cukup pengalaman dan masih pada usia mentah. Punyalah teringin sebba cari pengalaman. Saya masih ingat lagi pertandingan diadakan di Pusat Sumber Pendidikan Negeri pada tahun 2000. Bertanding dalam kalangan pelajar SBP.Semuanya kerana ingin mencari pengalaman.

Dalam debat Bahasa Melayu pula, mulanya ketika mewakili zon Piala Abdullah kalau tidak silap saya. Menjadi simpanan sahaja. Mengorak langkah bersama teman-teman dalam mencernakan idea-idea dan bertanding pula dengan pelajar sekolah berasrama penuh. Memberikan saingan yang hebat juga. Jika tidak silap isu Gejala Sosial. Namun, dunia pidato memberikan kenangan bermakna. Anugerah-anugerah bukanlah penting, tetapi pengalaman ketika usia mula-mula berjinak dunia orator menjadi kenangan manis yang kukuh terpatri.

Pelbagai pertandingan terus disertai ketika itu, public speaking pun diredah. Paling lawaknya, mula-mula bertanding tersasul pun ada. Akhirnya dapat juga tempat pertama. Ketika itu, Bahasa Inggeris masih dicintai. Saya lemah Bahasa Inggeris sekarang kerana ada episod yang membuatkan saya kecewa. Lepas itu, langsung tidak amik endah. Adalah ceritanya yang mungkin tidak perlu dikongsikan di sini.

Apabila melangkah ke universiti, saya mula berjinak-jinak dengan dunia debat. Akibat beberapa kekangan saya terpaksa tangguhkan.Hal ini kerana saya terlibat dengan organisasi yang memerlukan saya memberi komitmen yang tinggi. Namun, sempat juga saya berada dalam pasukan debat Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris walaupun saya tidak menyerlah berbanding dengan ahli yang lain. Beberapa pertandingan pernah saya sertai pada mulanya iaitu Debat Piala MPP, Debat Canselor sebagai pengurus pasukan kolej, Debat FOMCA, Debat di peringkat kolej termasuklah pertandingan-pertandingan pidato di kolej. Masih ingat lagi universiti ingin menghantar saya untuk ke pertandingan pidato mewakili universiti. Namun, saya yang melepaskan peluang itu kerana ketika itu saya tengah menguruskan kemasukan pelajar baru. Apabila dirungkai kembali kenangan itu, sungguh bermakna mungkin saya boleh duduk dengan sebaris dengan pemidato dan pendebat yang hebat ketika ini. Tidak mengapa, mungkin peluang yang saya lepaskan itu akan hadir apabila jiwa saya betul-betul inginkannya.

Saya tidak sempat melakarkan kenangan lebih bermakna lagi di universiti dalam dunia debat cuma dalam pengucapan dan pengacaraan, dan mengendalikan forum saya sentiasa dijemput. Namun, sebenarnya saya rindukan dunia debat  dan dunia pidato setelah melihat video dari youtube Johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu kategori (Nusantara) oleh Syamsul Salleh. Saya cemburu juga, jikalah saya teruskan untuk pertandingan mewakili universiti ketika saya di semester 3, sudah pastinya saya mampu untuk sertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu itu. Namun, mungkin saya ini dikenali sebagai pendebat sepi. Haha. Namun, saya tidak pernah lupa untuk mengikuti perkembangan pidato dan debat-debat yang terkini. Malah untuk pidato antarabangsa itu pun saya pergi tonton. Rindunya kenangan dan pengalaman itu. Dunia orator memberi kelazatan jiwa sebenarnya kerana kita terampil untuk bercakap dan mengerah segala tenaga dalam menjana idea.

Semoga, rakan-rakan yang berada dalam dunia debat, terutamanya junior-junior, teruskanlah kerana dunia ini memberi kepuasan dan mungkin pandagan orang melihat budak-budak debat ni pandai bercakap. Walhal mereka perlu mengkaji, istilah pandai bercakap itu sedalamnya. Untuk pandai bercakap memerlukan pemikiran yang kritikal dan bercakap selaras dengan jiwa itu akan memberi kesan bermakna kepada semua masyarakat yang mendengarnya. Lontaran idea dan pengkajian bukan mudah untuk bercakap jika bukan berdasarkan bukti dan fakta yang sahih.

Sekian, coretan dari “Mengasah Minda”